Tabi’at Trial-And-Error Abadi

Dalam perniagaan ada risiko. Begitu juga dengan perniagaan internet. Untuk mengurangkan risiko kegagalan, kita memerlukan strategi dan tindakan yang bijak. Pada peringkat awal, mungkin kita perlu banyak trial-and-error, cuba-cuba macam-macam teknik dan gaya. Namun, jangan selamanya trial-and-error tanpa belajar daripada kesalahan dan merancang strategi yang lebih berkesan. Sebab tulah dalam post kali ini, saya nak fokuskan perbincangan tentang tabi’at trial-and-error abadi. Ini adalah berdasarkan kepada pengalaman, pengamatan dan pembacaan saya sendiri.

Kepada newbie (orang baru) dalam perniagaan internet, trial-and-error sudah menjadi kebiasaan, bahkan kadang-kadang terlalu banyak yang dicuba dan semuanya gagal. Mengapakah ini berlaku? Mungkin kerana kita tidak fokus kepada sesuatu teknik dan cara, lalu kita nak lakukan semua. Hasilnya, semuanya gagal. Jadi, kita harus punya fokus sekalipun dalam melakukan trial-and-error. Biar kita benar-benar memahami sesuatu teknik dan mencari pengalaman sebelum nak cuba menguasai teknik yang lain. Kata orang, know something in everything, and know everything in something. Tahu sikit-sikit tentang semua cara itu bagus, tapi harus ada keazaman untuk menguasai salah satu cara atau teknik perniagaan yang paling sesuai dengan kita.

Kita selalu teruja dengan benda baru dan mudah bosan dengan benda lama. Apatah lagi kalau benda lama tu tak pernah membuatkan kita berjaya mendapat pulangan. Di sini perlu penelitian yang adil. Adakah sememangnya cara sedia ada itu tak boleh menjana pulangan atau kita tak pernah berusaha menguasainya dan melakukannya dengan cara yang paling tepat? Lalu kita tinggalkan sebelum sempat kita belajar sesuatu yang berharga daripada teknik tersebut. Kita pergi pula kepada teknik baru yang lebih menarik, namun hasilnya gagal juga. Begitulah seterusnya….cuba dan cuba, gagal dan gagal. Apakah salah mencuba? Tak salah, tapi salah kita kerana cuba tak kena gaya.

Kita memang harus mencuba, sambil berusaha menambah ilmu tentang apa yang kita cuba. Kejayaan bukan hanya diukur dengan wang ringgit yang kita perolehi, tapi juga pada ilmu dan pengalaman yang kita timba. Mungkin kita tak dapat pulangan sekarang, tapi kita dah kuasai salah satu teknik perniagaan dan boleh saja mencapai kejayaan dengan lebih cepat pada masa akan datang. Jika kita hanya bergantung kepada nasib, akan terdengarlah keluhan-keluhan apabila gagal..”Dah nasib aku“, “Aku memang tak pandai buat perniagaan internet ni“, “Ni semua salah diorang, tak bantu aku untuk berjaya“.

Ingat, kejayaan diri sendiri itu tak harus dikaitkan dengan kesalahan orang lain. Kitalah yang harus berusaha merancang strategi sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan yang kita impikan. Sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan lakukan trial-and-error pada tempatnya, jangan selama-lamanya trial-and-error dan selama-lamanya gagal.

Kesimpulannya, dalam trial-and-error pun harus punya strategi dan perancangan, itu menunjukkan kesungguhan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

No related posts.

4 Responses to “Tabi’at Trial-And-Error Abadi”

  • Try and error itu mungkin merupakan satu teknik yang dapat menjimatkan kos pembelajaran. Cuma sedikit masa perlua diambil. ye tak zul ?

    Namun, ada sesetengah perkara yang tidak dapat tidak perlukan kos dan tidak boleh diperolehi hanya dengan try and error.

    Satu artikel yang baik Zul, teruskan usaha anda !

  • sekadar beri nasihat untuk newbie:

    orang yang berjaya adalah orang yang gagal lebih dari 10 kali.

    Orang yang gagal adalah orang yang gagal 1 kali, tapi
    tak bangun kembali. Putus asa.

    Fahami dan dalami.

Leave a Reply